Geografi Kuala Terengganu

Kedudukan Kuala Terengganu adalah terletak di bahagian tengah negeri Terengganu, sesuai dengan fungsinya sebagai ibu negeri. Terletak di kawasan delta sungai Terengganu dengan pusat bandarnya berada di muara sungai Terengganu, menghadap Laut China Selatan di bahagian timur dengan dikelilingi oleh persisiran pantai berpasir dan landai.

Jenis tanah di sebelah timur Kuala Terengganu adalah tanah beris dan kawasan paya gambut terutamanya di Gong Badak, Batu Rakit, Chendering, dan Seberang Takir. Tanah jenis ini hanya sesuai untuk tanaman seperti tembakau, nenas, buah naga dan tembikai. Namun jarang sekali tanah dikawasan ini dimajukan untuk tujuan pertanian, kebanyakkan dimajukan untuk penempatan, industri dan komersial kerana keluasan tanah yang terhad di Kuala Terengganu selain daripada permintaan yang tinggi untuk hartanah dan pembangunan.

Bentuk muka bumi di bahagian barat Kuala Terengganu pula adalah lebih berbukit bukau disebabkan oleh faktor topografi yang semakin menegak di sebelah hulu sungai Terengganu. Namun secara puratanya, kebanyakkan tempat dan bahagian di dalam daerah Kuala Terengganu adalah berada di kawasan dataran tanah pamah kerana faktor geografinya yang berada begitu hampir dengan kawasan pantai. Hanya terdapat beberapa buah bukit sahaja di daerah Kuala Terengganu iaitu, Bukit Besar yang terletak begitu hampir dengan pusat bandaraya dan Bukit Jong yang terletak sedikit di kawasan pendalaman.

Berkaitan